Sabtu, Februari 26, 2011

Tahniah kepada Hairuman

Hairuman mahu belajar agama

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
megatlutfi.rahim@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Mangsa renjatan kabel elektrik bervoltan tinggi, Muhammad Hairuman Miskon melahirkan hasrat untuk mendalami ilmu keagamaan di sebuah sekolah tahfiz apabila keluar daripada hospital kelak.

Kata Hairuman, 22, dia tertarik untuk memasuki sekolah tahfiz kerana mahu meningkatkan keyakinan diri setelah menyedari terpaksa berhadapan dengan masyarakat dalam keadaan dirinya yang kini tidak sempurna.

"Apabila saya keluar hospital, saya akan menerima pelbagai ujian dan pandangan masyarakat terhadap saya juga mungkin sudah berbeza berbanding dahulu.

"Mudah-mudahan melalui ilmu agama, sedikit sebanyak kehidupan saya akan menjadi lebih tenang," katanya ketika ditemui di Unit Kebakaran Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini kelmarin.

Namun, Hairuman belum memutuskan sekolah tahfiz mana yang akan dipilihnya sebaik sahaja keluar dari HKL.