Khamis, Julai 16, 2009

Semua kesatuan guru menolak PPSMI, tetapi di sekolah rendah sahaja

Semua 25 kesatuan dan persatuan yang mewakili kira-kira 350,000 guru di seluruh negara sebulat suara menolak pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada peringkat sekolah rendah.

Kepemimpinan semua pertubuhan guru tersebut menyuarakan pendirian sepakat itu atas tiket Majlis Permuafakatan Kesatuan dan Persatuan Guru Kementerian Pelajaran Malaysia, dan mereka sudah mengemukakan memorandum rasmi mengenai keputusan berkenaan kepada Menteri Pelajaran Malaysia dan Ketua Pengarah Pelajaran di Kementerian yang samaAda baiknya kesatuan guru ini melihat isu secara lebih menyeluruh dan tidak dikaitkan dengan bahasa Inggeris.

Pengerusi majlis permuafakatan itu, Tuan Jemale Paiman, berkata melalui memorandum berkenaan, mereka menggesa kerajaan menggunakan semula bahasa Melayu dan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar kedua-dua mata pelajaran berkenaan, baik di sekolah kebangsaan mahupun di sekolah jenis kebangsaan.

Beliau berkata, kesatuan dan persatuan tersebut adalah sependapat bahawa PPSMI hanya wajar dilaksanakan mulai pendidikan menengah selepas murid mendapat pendedahan, pemahaman serta penguasaan asas yang kukuh dalam dua subjek itu melalui pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu atau bahasa ibunda mereka di sekolah rendah.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Pelajaran Malaysia disarankan supaya menggunakan semula bahasa Melayu dan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik di sekolah rendah mulai 2011 membabitkan murid Tahun Satu, sekali gus tidak menjejaskan proses pembelajaran murid sedia ada yang sedang mengikuti PPSMI.

Memorandum itu disampaikan kepada Menteri Pelajaran Malaysia dan Ketua Pengarah Pelajaran melalui Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Tuan Zulkifly Mohd Wazir, dalam mesyuarat antara majlis permuafakatan dan Kementerian Pelajaran di Putrajaya pada 20 Oktober lalu.

Antara kesatuan dan persatuan guru yang menganggotai majlis permuafakatan itu adalah:
1. Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan
2. Kesatuan Perkhidmatan Pendidikan Kebangsaan
3. Kesatuan Kebangsaan Guru Bahasa Melayu Se-Malaysia
4. Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Besar Malaysia
5. Persatuan Kebangsaan Pengetua Sekolah Menengah
6. Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia
7. Kesatuan Guru-Guru Sabah
8. Kesatuan Guru-guru Sarawak
9. Kesatuan Kebangsaan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia
10. Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat
11. Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia
12. Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Agama Malaysia Barat
13. Persatuan Pengelola Pendidikan Sekolah-Sekolah Malaysia
14. Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan
15. Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Sekolah Tamil

Rasional Tuan Jemale Paiman adalah supaya murid “diberi peluang memperoleh pendidikan awal dalam bahasa ibunda yang ‘mesra’ dengan kehidupan harian untuk menarik minat, memudahkan pemahaman serta memantapkan penguasaan asas mereka.”

Rasional beliau ini berbeza daripada prinsip pendidikan yang membuktikan bahawa bahasa ibunda itu lebih berkesan bagi menyampaikan sebarang ilmu, termasuk sains dan matematik.” Itupun hanya di sekolah rendah.

Pendirian begini tidak membantu menyelesaikan perkara PPSMI ini, cuma menangguhkannya sementara, sehingga ke sekolah menengah!

Isunya adalah penyampaian iilmu secara berkesan kepada rakyat, isu mendemokrasikan pendidikan, isu pembinaan bangsa, isu pengekalan jati diri bangsa, isu membina masyarakat berilmu yang kreatif, isu membina himpunan kepustakaan dalam bahasa sendiri, dll.

Namun pendapat beliau yang mengatakan “… penguasaan bahasa Inggeris … bukan melalui mata pelajaran sains ataupun matematik” itu adalah tepat. Oleh sebab itu, kita tidak perlu mengaitkan PPSMI dengan bahasa Inggeris.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan